0

Perjalanan Hidup dan Karierku

Posted by kharfz on 2:02 PM in
Siapa sangka aku hampir menghampiri 5 tahun sepanjang perjalanan karier ku. Telah banyak pahit dan manis telah kutelan untuk sampai ke tahap ini. Memori yang telah terpahat selama masa membuatkan aku selalu terfikir dan terkesima dengan kehidupan aku sekarang. Adakah aku tidak mampu untuk mengecapi kenikmatan yang seperti aku idamkan?
Mengeluh terhadap masa silam mungkin bodoh pada pandangan orang lain, namun bagiku ia adalah satu tarbiah dan pembelajaran yang sangat berguna pada masa hadapan andai kata aku bijak untuk memanipulasikan pengalaman yang telah aku lepasi. Persoalannya, adakah aku begitu bijak untuk memanipulasinya? Akhirnya aku mengeluh juga buat ke sekian kali.

Kebelakangan, aku menjadi sedih dan rendah diri, lantaran nasibku tidak seperti apa yang kuimpikan. Aku tidak mampu tersenyum seperti kebanyakan yang lain selagi persoalan dan permasalahan yang menimpa diriku belum menemui penyelesaiannya. Adakah perlu untuk aku mendapatkan khidmat kaunseling? Mungkin, tapi bagiku kebahagiaan yang kukecapi bersama isteri dan anak-anak tersayang mampu menyingkirkan perasaan sedihku buat seketika..

Kuimpikan sebuah kehidupan sederhana dan bahagia. Tersuratnya aku seronok dengan karierku dan selesa dengan perjalanan hidupku. Tersiratnya aku perlukan jaminan kewangan yang stabil agar aku akan sentiasa dapat menceriakan keluarga dan orang tersayang. Kepuasan pasti akan jelas terpancar andaikata aku mampu untuk menggembirakan hati semua orang. Wajah-wajah ibu dan ayah, serta isteri dan anak-anak akan lebih ceria sekiranya lebih banyak masa dapat kuluangkan bersama mereka. Alangkah indahnya hidup ini disinari berkat dan rahmat dari Ilahi.

Adakah masih ada ruang untuk aku terus maju? Adakah aku harus beralih arah mencuba sesuatu yang baru? Adakah aku harus keluar ke kelompok yang baru lagi dan menghirup udara yang lain? Atau adakah aku harus menunggu dan mengharap keajaiban akan datang kepadaku? Mungkin sudah sampai masanya untuk aku memikirkan sesuatu yang baru dengan serius. Mungkin juga aku harus berfikir dan bertindak seperti dewasa lain yang sudah matang pemikirannya. Mungkin juga aku perlu melakukan penghijrahan.. namun kemungkinan itu bakal menentukan masa depan aku dan keluargaku kelak.

Membina soalan memang mudah, namun menjawab semua persoalan yang telah dilemparkan memang susah. Seperti menelan ubat yang pahit, atau menahan nafas di dalam air.. berapa lama harus aku bertahan dan bertahan?

Berikan aku ruang.. untuk berfikir dan bertindak sematang dan sebijaknya. Semoga ALLAH akan terus membimbingku ke jalan yang lurus, agar aku dapat memacu keluargaku ke arah yang sama kelak..

Sekian.

0 Comments

Post a Comment

Copyright © 2009 .: Give Me a Space :. All rights reserved. Theme by Laptop Geek. | Bloggerized by FalconHive.